Seorang wanita dibelai oleh teman lelakinya. Si lelaki menutur kata sarat cinta mengharap teman wanitanya mendengarnya.
Si wanita mendengar penuh gembira. Terasa hidupnya berbunga-bunga. Sang lelaki tidak berpuas hati. Diutusnya surat mengandungi bait-bait ayat cinta darinya. Si wanita menghargai. Dibacanya berulang-ulang kali.
Persandingan berlangsung. Sepanjang pernikahan, sang lelaki memanggil isterinya. Mengharap panggilan disahut. Iya, panggilan suaminya tak pernah diabaikan. Bukti cinta luhur dihulurkan.
Saya termenung.
Luhurkah cintaku?
Adakah cinta seseorang yang dirindui itu berbalas? Seperti cinta sang lelaki di atas?
Adakah aku mampu mencintai dan menghargai, seperti wanita di atas?
Si lelaki menutur kata, mengharap si jantung hatinya mendengarnya.
Allah menutur kata sarat cinta, menyuruh wanita menjaga auratnya kerana Allah sayangkan golongan wanita. Dia berharap kita mematuhiNya.
Berbalaskah cintaNya?
Sang lelaki mengutus surat bersama bait-bait ayat sastera cinta di dalamnya. Dia berharap wanita itu membacanya. Berulang kali. Menghargai.
Allah mengutus surat bersama ayat-ayat cintaNya melalui Al-Quran. Sesiapa yang membacanya beroleh pahala berkali ganda. Menjulang-julang tingginya jika ikhlas tanpa bersandiwara. itulah cinta luhurNya.
Berbalaskah cintaNya?
Sepanjang pernikahan, sang lelaki memanggil isterinya. Berharap si isteri menyahut dan segera datang kepadanya.
Allah memanggil kita. Laungan azan lima kali sehari tanda Dia rindukan sendu rintihan hambaNya. Segeralah datang kepadaNya. Solat di awal waktu dibalas pahala. Solat yang ikhlas penuh rindu dibalas keimanan tanpa culas.
Adakah kita segera menyahut? Atau melewatkan? Adakah kita rindukan Dia? Adakah kita kensunyian tanpaNya? Di mana bukti cinta luhur kita?
Merdu bacaan Qari dan Qariah menyapa gegendang telinga. Ada perasaan insaf mengusap rasa. Saya keluar sebentar dari dunia pelajar dan kini mendengar bait-bait cinta dari Tuhanku dan Tuhanmu. Saya tenggelam... Bersama ayat cinta.


No comments:
Post a Comment